COLOMBO: Sri Lanka sedang bergelut untuk mengumpul AS$587 juta bagi membayar kos penghantaran bahan api ke negara itu.

Malah negara yang mempunyai 22 juta penduduk itu tidak mampu membayar import penting barangan makanan, baja, ubat-ubatan dan bahan api akibat krisis kewangan yang teruk.

Menurut Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera penghantaran bahan api baharu sedang dalam proses.

Negara sedang itu berusaha mengumpul dana yang mencukupi untuk membayarnya kerana bank pusat hanya boleh membekalkan kira-kira AS$125 juta.

Sri Lanka hanya mempunyai rizab simpanan sebanyak 12,774 tan diesel dan 4,061 tan petrol.

Jelasnya, minggu ini Sri Lanka memerlukan AS$316 juta untuk membayar penghantaran baharu.

Jumlah ini meningkat sehingga AS$587 juta jika negara itu menambah dua penghantaran minyak mentah.

Penghantaran pertama 40,000 tan diesel daripada Coral Energy dijangka tiba 9 Julai ini dan pembayaran separa AS$49 juta perlu dibuat untuk yang kedua daripada Vitol menjelang Khamis.

Akibat stok diesel dan petrol yang terhad, Sri Lanka minggu lalu menutup sekolah, meminta pekerja awam bekerja dari rumah dan mengehadkan bekalan bahan api kerajaan kepada perkhidmatan penting.

Menteri itu berkata negara perlu cuba mengumpul dana daripada pasaran terbuka dan mencari pilihan pembayaran yang lebih fleksibel daripada pembekal.

Rancangan untuk menyelesaikan hutang AS$800 juta kepada tujuh pembekal untuk pembelian yang dibuat tahun ini sedang dibincangkan.

Pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) akan terus mengadakan perbincangan dengan Sri Lanka untuk kemungkinan pakej penyelamatan bernilai AS$3 bilion.

Bagaimanapun, pelepasan dana segera daripada IMF sukar kerana negara itu perlu terlebih dahulu menguruskan hutang sedia ada.